• 2025-08-04 03:22 PM

JOHOR BAHRU: Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman CP Ab Rahaman Arsad dilantik sebagai Ketua Polis Johor yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datuk M. Kumar yang kini bertugas sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, disaksikan Pengarah Pengurusan PDRM Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid serta pegawai-pegawai kanan polis.

Ab Rahaman, 58, berasal dari Kulai, Johor, dan memulakan kerjaya dalam PDRM pada 1989.

Abdul Aziz dalam ucapannya menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Ab Rahaman.

“Saya percaya Ab Rahaman adalah calon yang tepat sebagai Ketua Polis Johor dan kita di Bukit Aman meletakkan harapan yang cukup tinggi terhadap kemampuan beliau,“ katanya.

Sementara itu, Kumar yang berkhidmat lebih 18 tahun di Johor mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan padu.

“Saya merakamkan penghargaan kepada seluruh warga IPK Johor, kepimpinan kerajaan negeri, agensi penguat kuasa, badan bukan kerajaan dan pengamal media,“ ujarnya.

Majlis turut menyaksikan serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor antara SP Shanthi dan Salwah Mahdan. – Bernama