• 2025-09-19 09:58 PM

KUALA LUMPUR: Lima buah kedai makan musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran di Blok C, Projek Perumahan Rakyat Gugusan Kesumbar, Jalan Pekaka 8/1, Kota Damansara petang tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 6.06 petang.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh tiba di lokasi dan berjaya mengawal api dalam masa 18 minit.

Kebakaran tersebut melibatkan lima unit kedai makan dengan keluasan kira-kira 50 kaki persegi setiap satu.

Anggaran kemusnahan mencapai 100 peratus bagi kesemua premis makanan yang terlibat.

Lima buah kenderaan turut musnah termasuk sebuah Proton Saga, sebuah Proton Wira dan tiga motosikal.

Tiada sebarang kecederaan atau kematian dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Operasi pemadaman api melibatkan seramai 28 anggota bomba dari tiga balai berbeza.

Jentera yang digunakan termasuk tiga Fire Rescue Tender, tiga Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan, tiga Rapid Intervention Motorcycle dan sebuah jentera tangki air. – Bernama