• 2025-09-27 09:49 PM

SINGAPURA: Perenang para negara Abd Halim Mohammad menutup kempen Malaysia pada hari terakhir Kejohanan Renang Para Dunia 2025 dengan mencatatkan rekod peribadi baharu dalam acara 100 meter kuak dada lelaki SB8.

Pemenang lima pingat emas Sukan Para ASEAN 2023 itu mencatat masa 1 minit 14 saat untuk menamatkan perlumbaan di tempat keenam daripada lapan perenang pada final di Pusat Akuatik OCBC.

Abd Halim menyifatkan masa yang dicatatkannya jauh lebih baik daripada sasaran asal selepas berjaya mara ke final dalam kedua-dua acara disertainya.

Beliau mara ke final selepas menamatkan perlumbaan saringan di tempat ketujuh daripada 11 perenang dengan catatan masa 1:15.52.

Pada Khamis lepas, perenang berusia 27 tahun itu menamatkan saingan di tempat keenam dalam acara akhir 50 meter gaya bebas lelaki S8 dengan catatan peribadi baharu 27.16 saat.

Atlet kelahiran Sabah itu berkata beliau sangat berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan di Singapura berbanding penampilan sulungnya di Manchester dua tahun lepas.

Beliau kini akan menumpukan perhatian pada Sukan Para ASEAN 2025 di Thailand dengan mensasarkan lima acara termasuk satu acara baharu.

Juara tujuh kali Sukan Paralimpik Andrei Kalina merangkul pingat emas dalam acara 100 meter kuak dada lelaki SB8 dengan masa 1:08.43.

Daniil Smirnov meraih perak dengan catatan 1:10.72 manakala Oscar Salguero Galisteo dari Sepanyol membawa pulang gangsa.

Sementara itu, perenang para negara Brenda Anellia Larry terlepas peluang mara ke final acara 200 meter gaya bebas wanita S4 meskipun mencatatkan rekod peribadi baharu 4:37.95.

Muhammad Nur Syaiful Zulkafli tidak mengambil bahagian dalam acara ketiga dan terakhirnya 100 meter gaya bebas lelaki S5 kerana masalah kesihatan berkaitan kecacatan saraf tunjang.

Pemenang dua kali pingat gangsa itu sebelumnya menamatkan saingan di tempat kelima dalam acara akhir 100 meter kuak dada lelaki SB4 pada hari pertama kejohanan. – Bernama