• 2025-07-28 07:32 PM

PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abu Bakar Jais mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan hari ini.

Beliau menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara pada 3 Julai lalu.

Upacara angkat sumpah diadakan di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman, di sini, disaksikan oleh Hakim Mahkamah Rayuan kanan Datuk P. Ravinthran.

Sejarah turut tercipta apabila Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azizah Nawawi dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, menjadikannya wanita pertama memegang jawatan tersebut.

Azizah, 63, berasal dari Sibu, Sarawak, menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Sebli yang bersara pada 24 Julai.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Hakim Dean Wayne Daly, hakim paling kanan di Sabah dan Sarawak.

Seramai enam hakim Mahkamah Tinggi turut mengangkat sumpah sebagai hakim Mahkamah Rayuan, termasuk Hakim Dr Shahnaz Sulaiman dan Datin Paduka Evrol Mariette Peters.

Selain itu, 14 Pesuruhjaya Kehakiman disahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, dengan pelantikan berkuat kuasa hari ini.

Ketua Hakim Negara baharu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim hadir menyaksikan upacara tersebut.

Turut hadir bekas-bekas Ketua Hakim Negara serta Presiden Badan Peguam Malaysia. – Bernama