• 2025-07-28 10:22 PM

PUTRAJAYA: Presiden Mahkamah Rayuan yang baru dilantik, Datuk Abu Bakar Jais, menyifatkan pelantikannya sebagai satu tanggungjawab besar dan mencabar, terutamanya dalam menegakkan keadilan di sebuah negara berbilang kaum dan agama.

Bercakap kepada pemberita selepas mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di Dewan Persidangan Istana Kehakiman, Abu Bakar, 63, mengakui bahawa memenuhi harapan semua pihak bukanlah sesuatu yang mudah.

“Sudah tentu, adalah mustahil untuk memuaskan hati semua pihak, namun saya berharap dapat melaksanakan tugas tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.

Beliau tidak menafikan tekanan yang bakal dihadapi, tetapi yakin dapat mengharunginya dengan sokongan dan kerjasama daripada hakim-hakim lain.

Abu Bakar berkata Mahkamah Rayuan kini mempunyai 32 hakim, walaupun dua daripadanya bakal bersara tidak lama lagi.

Beliau merancang untuk menambah bilangan panel hakim daripada lapan kepada 10 bagi mempercepatkan penyelesaian kes rayuan.

PUTRAJAYA: Datuk Azizah Nawawi, 63, mengakui terkejut dengan pelantikannya sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, jawatan keempat tertinggi dalam Badan Kehakiman Malaysia.

“Alhamdulillah, saya dipilih sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Saya berasal dari Sibu, jadi saya sangat gembira kerana dipertimbangkan untuk jawatan ini,” katanya.

Meskipun menjadi wanita pertama yang memegang jawatan itu, Azizah berkata beliau tidak melihatnya sebagai satu tekanan.

“Tekanan adalah sebahagian daripada kehidupan, ia boleh diurus dengan baik,” katanya.

Azizah berhasrat untuk meneruskan kerja-kerja penyandang sebelum ini dan akan terus memberikan yang terbaik kepada institusi kehakiman di Sabah dan Sarawak. – Bernama