CAPE TOWN: Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa menandatangani pengisytiharan bagi penubuhan suruhanjaya siasatan kehakiman untuk menyiasat sama ada wujud cubaan menghalang penyiasatan dan pendakwaan terhadap jenayah era aparteid.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, Pejabat Presiden memaklumkan bahawa suruhanjaya itu akan dipengerusikan oleh bekas Hakim Mahkamah Perlembagaan, Sisi Khampepe, lapor Xinhua.
Penubuhan suruhanjaya itu merupakan sebahagian daripada penyelesaian yang dicapai dalam prosiding mahkamah yang difailkan oleh keluarga mangsa jenayah era aparteid.
Pada Januari lalu, seramai 25 keluarga dan mangsa yang terselamat memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Pretoria bagi menuntut ganti rugi perlembagaan susulan kegagalan kerajaan menyiasat dan mendakwa jenayah politik era aparteid secara berkesan selepas pelaksanaan proses Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi (TRC).
TRC ditubuhkan pada 1995 bagi menyiasat pelanggaran hak asasi manusia menerusi pendengaran awam yang membabitkan saksi, mangsa dan pelaku.
Suruhanjaya itu mengesyorkan sekitar 300 kes jenayah era aparteid untuk disiasat bagi tujuan pendakwaan, yang kemudian dirujuk kepada Pihak Berkuasa Pendakwaan Kebangsaan (NPA).
Namun, kelewatan selama berdekad-dekad menyebabkan ramai pelaku jenayah terbabit telah meninggal dunia atau tidak lagi layak dibicarakan.
“Penubuhan suruhanjaya siasatan dengan skop rujukan yang luas dan menyeluruh adalah peluang untuk mencari kebenaran serta memberi panduan terhadap tindakan lanjut yang perlu diambil,” kata Ramaphosa.
Suruhanjaya itu akan menyiasat sama ada berlaku sebarang cubaan untuk mempengaruhi polis atau NPA agar tidak menyiasat atau mendakwa kes yang dikenal pasti oleh TRC.
Ia juga akan mengemukakan cadangan sama ada sebarang tindakan lanjut wajar diambil, termasuk penyiasatan tambahan, pendakwaan atau pembayaran ganti rugi perlembagaan kepada mana-mana individu yang terkesan.
Suruhanjaya itu dijangka menyelesaikan tugasnya dalam tempoh enam bulan dari tarikh pengisytiharan dan menyerahkan laporan dalam tempoh 60 hari selepas tugas disiapkan.