KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang menjatuhkan hukuman penjara sebulan serta denda RM1,500 ke atas pempengaruh permotoran Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin dan adiknya, Tengku Abdul Aziz, bagi kesalahan membuat laporan palsu.
AGC dalam kenyataan memaklumkan rayuan itu difailkan terhadap hukuman ke atas Tengku Abdul Aziz yang mengaku memberi maklumat palsu kepada penjawat awam mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Rayuan turut dibuat terhadap Tengku Nizarudin yang mengaku bersubahat memberi maklumat palsu di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 182 kanun sama.
“Jabatan ini merujuk kepada keputusan Mahkamah Majistret Muar pada 25 Julai 2025 yang menjatuhkan hukuman penjara satu bulan dari tarikh sabitan 25 Julai 2025 serta denda RM1,500, gagal membayar denda tiga bulan penjara terhadap kedua-dua pesalah iaitu Tengku Abdul Aziz dan Tengku Nizarudin,“ menurut kenyataan itu.
Pada 25 Julai lepas, Mahkamah Majistret Muar menjatuhkan hukuman terbabit ke atas Tengku Nizaruddin, 38, atau lebih dikenali sebagai Ija, dan Tengku Abdul Aziz, 30, selepas mereka mengaku bersalah.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua beradik itu menjalani hukuman penjara bermula 25 Julai atau dipenjara tiga bulan jika mereka gagal membayar denda. – Bernama