KUCHING: Agensi fatwa negeri perlu seiring dan selaras dengan pandangan nasional agar hukum dan fatwa yang dikeluarkan di negeri masing-masing tidak bercanggah antara satu sama lain.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perkara itu penting dalam menjaga peradaban masyarakat Islam di samping meningkatkan kefahaman masyarakat dalam mengamalkan cara hidup berlandaskan Islam.
“Sebelum mengeluarkan fatwa adalah penting berbincang dan melihat semua sudut berteraskan al-Quran dan hadis sebelum memberikan keputusan yang baik dalam menangani apa-apa isu yang dihadapi oleh umat Islam,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian seminar fatwa peringkat negeri Sarawak di sini, hari ini.
Sementara itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan berkata sinergi antara Jabatan Mufti Negeri-Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) penting dalam memantapkan dan memperkukuhkan kedudukan Islam di negara ini.
“Agensi agama tidak boleh bersendirian tetapi harus berganding bahu menyusun langkah dan gerak kerja ke arah yang lebih efektif.
Justeru katanya melalui seminar itu segala kekeliruan dan kesamaran yang menyelubungi peserta dapat dijernihkan seterusnya bertindak selari dengan tuntutan Islam.