KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI serta penjawat awam yang telah berusaha keras dalam mengurus ekonomi dan pembangunan negara.
Sultan Ibrahim bertitah kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini menjadi bukti keupayaan kepimpinan negara dalam mengeratkan kerjasama serantau dan antarabangsa.
“Walaupun ada pihak yang memandang rendah keupayaan Malaysia, dengan usaha gigih dan semangat kerjasama, terutamanya oleh penjawat awam, segala cabaran dan rintangan telah berjaya diharungi,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam Titah Diraja pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi 2025 bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Hadir pada istiadat itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan barisan Menteri Kabinet.
Sultan Ibrahim turut mengingatkan kepada penjawat awam supaya memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan mengamalkan prinsip Rukun Negara kedua, iaitu “Kesetiaan kepada Raja dan Negara”.
“Kesetiaan bukan maksud menyembah, tetapi jujur dan amanah dalam memikul tugas dan tanggungjawab yang diberikan, serta tidak mengkhianati negara dan amanah rakyat,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa penjawat awam mesti bebas daripada pengaruh parti politik, bersikap berkecuali dan sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.
“Pegawai kerajaan haruslah memastikan setiap keputusan yang dibuat mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan, bukan mengikut telunjuk orang politik.
“Setiap perbelanjaan juga mestilah dikawal dengan rapi dan tidak boleh digunakan sesuka hati oleh menteri atau Ahli Parlimen untuk memancing undi, sampai menyebabkan hutang kerajaan bertambah besar,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim turut menyeru supaya semua agensi penguat kuasa menjalankan tugas dengan penuh integriti agar rakyat tidak hilang kepercayaan dan terus menghormati uniform yang dipakai.