KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan Selamat Ulang Tahun Keputeraan ke-68 kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang disambut hari ini.

Ucapan itu dizahirkan Seri Paduka Baginda berdua menerusi poster yang dimuat naik menerusi laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Semoga Allah SWT merahmati Baginda dengan kebahagiaan dan melanjutkan usia Baginda,“ menurut poster itu.

Sempena ulang tahun keputeraan Sultan Nazrin, sebanyak 213 individu dianugerahkan darjah kebesaran serta pingat negeri Perak yang akan diadakan dalam dua sesi iaitu pada 9 dan 16 Nov ini di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Sambutan turut melibatkan penganjuran Majlis Bacaan Surah Yasin dan Doa Selamat, selain Sultan Perak juga berkenan membiayai hidangan makanan kepada 7,800 banduan dan tahanan yang menjalani hukuman di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting, Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah dan Rumah Perantaraan penjara negeri.