LONDON: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan kerja ke United Kingdom (UK) bermula hari ini hingga 4 Jun (Rabu).

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara Datuk Zakri Jaafar berkata lawatan tersebut susulan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lepas dan lawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada April.

“Lawatan ini semestinya akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan UK yang mencakupi pelbagai bidang.

“Di peringkat ASEAN, Malaysia selaku pengerusi bagi 2025 akan menggunakan kesempatan lawatan dan pertemuan ini untuk membicarakan kejayaan serta hasil memberangsangkan yang dicapai sepanjang Kepengerusian Malaysia,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri dan delegasi dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow sekitar 8.15 malam ini waktu tempatan (3.15 pagi Isnin waktu Malaysia) dengan diiringi pegawai kanan termasuk daripada Kementerian Luar, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Zakri berkata semasa lawatan tersebut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Alam Sekitar, Makanan dan Luar Bandar UK Steve Reed di Whitehall pada 2 Jun.

Beliau berkata semasa pertemuan tersebut, selain isu hubungan dua hala Malaysia-UK perbincangan akan menjurus kepada pengurusan risiko bencana selaras peranan Ahmad Zahid sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.

“Selain daripada program rasmi dengan negara tuan rumah, Timbalan Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan di Forum Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertajuk ‘ Malaysia’s TVET Leadership in ASEAN: Building Skills for a Shared Future’ di University College London (UCL).

“Forum tersebut dijangka dihadiri wakil perwakilan dari negara ASEAN di UK, pelajar, pengurusan tertinggi universiti, ahli akademik serta penyelidik,” katanya.

Zakri berkata Ahmad Zahid juga akan menjadi hos Majlis Ramah Mesra bersama pelajar Malaysia di UK pada hari yang sama.

Pada 3 Jun Ahmad Zahid akan mengadakan mesyuarat meja bulat bersama industri francais di UK, agensi dalam sektor pelancongan seterusnya dijadual merasmikan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk pasaran UK.

Program itu, beliau berkata berkenaan menyasarkan pasaran UK dan Eropah secara keseluruhan dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terbaik di rantau Asia.

“Bagi memastikan promosi ini mencapai sasarannya Timbalan Perdana Menteri akan turut mengadakan sesi temu bual dengan dua media pelancongan iaitu TTG Media dan Wanderlust,” katanya.