PASIR SALAK: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap cadangan penyerapan petugas kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ke jawatan tetap dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2026.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan cadangan itu kini dalam peringkat perbincangan.
Beliau menegaskan pelaksanaan cadangan ini tidak melibatkan perjawatan baharu atau perbelanjaan tambahan.
“Jika ini dilaksanakan ia boleh dijadikan sebagai satu penanda aras untuk lain-lain jawatan kontrak yang akan menjadi jawatan tetap tanpa berpencen.”
“Kita telah minta supaya secepat mungkin (pelaksanaan rancangan itu), jika ia memberikan faedah dan tidak menimbulkan polemik, sebaik-baiknya dimasukkan di dalam Belanjawan 2026,“ katanya kepada pemberita hari ini.
Sebelum itu, Ahmad Zahid merasmikan Program Santunan Desa KEMAS Negeri Perak Bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Komuniti KEMAS.
Program tersebut berlangsung di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.
Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah Khairul Azwan Harun juga hadir sebagai Pengerusi Komuniti KEMAS Parlimen Pasir Salak.
Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man turut berada di majlis tersebut.
Pada 27 Februari lalu, Mohd Hanafiah menyatakan pihaknya dalam proses membawa cadangan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Cadangan tersebut melibatkan penyerapan kira-kira 15,600 petugas kontrak KEMAS ke jawatan tetap di seluruh negara. - Bernama