PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pimpinan UMNO supaya tidak ‘mengusik’ rakan-rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Nur Jazlan Mohamed yang meminta Pakatan Harapan (PH) memohon maaf secara terbuka kepada Umno atas serangan selama berdekad terhadap parti itu adalah bersifat peribadi.

Beliau berkata apa-apa kenyataan selagi bukan dibuat Presiden UMNO atau ketua parti, maka kenyataan dikeluarkan pimpinan UMNO itu adalah berbentuk peribadi.

“Tidak perlu (PH) minta maaf. Jangan usik rakan-takan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan. Kita harus menghormati antara satu sama lain.

“Yang penting kita mesti mengekalkan keadaan dan situasi perpaduan kerajaan sekarang ini. Jangan timbulkan sebarang masalah,“ katanya kepada media selepas majlis penutup Konvensyen Rakan NADMA “Malaysia Madani, Siaga Bencana”, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya serangan yang dilakukan pimpinan UMNO terhadap parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan ekoran kemenangan berturut-turut UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam tiga pilihan raya kecil (PRK) iaitu Sungai Bakap, Nenggiri dan Mahkota.

Ahmad Zahid berkata beliau telah bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ketua-ketua parti komponen selepas mesyuarat Jemaah Menteri tadi dan bersepakat untuk mengenepikan perbezaan dan menjalin kerjasama lebih baik bagi menghadapi apa-apa kemungkinan termasuk PRK dan Pilihan Raya Umum (PRU).