• 2025-07-07 08:45 PM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga enam beranak yang ditemukan maut dalam kereta tenggelam di Sungai Korok, Jitra, Kedah.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi yang menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia.

“Pilu hati saya apabila mendengar berita mengenai tragedi yang menimpa enam sekeluarga yang ditemukan dalam kenderaan yang tenggelam di Sungai Korok, pagi tadi,“ kata Ahmad Zahid dalam hantaran di Facebook.

Beliau turut mendoakan agar roh mangsa ditempatkan bersama orang-orang beriman.

Mangsa tragedi ini ialah pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, bersama empat anak mereka berusia antara enam bulan hingga sembilan tahun.

Ahmad Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan bomba, polis, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) atas usaha mencari dan menyelamat yang dilakukan.

Beliau berharap proses pengurusan jenazah dipermudahkan.

Kejadian ini menamatkan misteri kehilangan keluarga tersebut sejak Sabtu lalu setelah waris mengesahkan identiti mayat yang ditemui dalam kereta di sungai berkenaan. - Bernama