KAMPOT: Jika di Malaysia masyarakatnya lebih sinonim dengan masakan rendang bagi menyambut Hari Raya Aidiladha, berbeza pula keadaannya bagi komuniti Islam di Kemboja yang lebih dikenali dengan hidangan “Kaw Leng Phnom” atau Lembu Naik Bukit.

Hidangan itu yang dimasak menggunakan periuk berbentuk bukit dengan cara masak yang unik bukan sekadar juadah istimewa Aidiladha, tetapi turut mencerminkan semangat kolektif komuniti Islam minoriti di Kemboja dalam menunaikan ibadah korban.

Hasanah Tambi, 36, ketika ditemui semasa program Kembara Qurban Kemboja 2025 di Kampung Keh di sini berkata ia merupakan antara hidangan paling dinantikan bagi menjamu keluarga sempena perayaan yang mengenang pergorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.

“Hidangan ini cara masaknya daging perlu dipotong nipis-nipis dan daging akan diperap dengan telur, sos tiram dan garam dan periuk istimewa itu perlu dipanaskan atas api, panaskan dan tuangkan minyak ke atas bukit periuk dan masak di situ.

“Ini biasanya memang hidangan yang kami masyarakat kemboja akan nikmati sempena perayaan ini dan sangat seronok apabila dapat tahu akan ada aktiviti korban yang akan diadakan di kawasan kampung kami ini,” katanya yang merupakan seorang guru di Maahad Imam As-Shafiee di sini hari ini.

Kembara Qurban Kemboja 2025 merupakan inisiatif kemanusiaan dipelopori Bank Rakyat bersama Rakan Strategik dalam menyantuni komuniti Islam antarabangsa.

Mudir Maahad Imam As-Syafiee Zakaria Adam, 40, berkata daging daripada sebanyak 46 ekor lembu yang dikorbankan menerusi program berkenaan dapat memberi manfaat kepada lebih kurang 20,000 penduduk beragama Islam di Kampot.

Beliau berkata kesudian rombongan kemanusiaan itu untuk hadir ke Kemboja sekali gus membuktikan tali persaudaraan yang utuh di antara Malaysia dan Kemboja.

“Penduduk dan orang Islam di sini seronok dan amat mengalu-alukan bantuan seperti ini, kebanyakan penduduk ada yang masih susah dan jarang-jarang juga dapat makan daging yang segar seperti yang kita ada hari ini,” katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Nor Haimee Zakaria berkata pihaknya juga sedang mempertimbangkan untuk memperluas inisiatif berkenaan kepada negara-negara lain.

“Saya difahamkan mereka di sini memang jarang dapat makan daging lembu jadi bila kita bawa program ini ke sini nampak keceriaan yang sangat besar kepada masyarakat di sini,” katanya.

Terdahulu, delegasi sukarelawan Bank Rakyat bersama penduduk tempatan mengorbankan sebanyak 10 ekor lembu di Kampung Trapenh Pinh dan 36 ekor lembu di Kampung Keh.

Semalam, media melaporkan Bank Rakyat menghidupkan semula Program Kembara Qurban Kemboja dengan menghantar delegasi seramai 21 orang bagi menyempurnakan ibadah korban dan mengagihkan bantuan kepada komuniti Islam di negara itu.

Program itu bertujuan untuk menyantuni masyarakat pedalaman yang hidup dalam kedaifan selain memperluas usaha jangkauan komuniti Bank Rakyat ke peringkat antarabangsa.