TUMPAT: Bermula sebagai buah kegemarannya, kini strawberi turut menjadi sumber pendapatan Nik Ayuani Nik Amat yang menggunakan resipi sendiri untuk menghasilkan jus buah itu.

Nik Ayuani, 32, berkata dia sekadar mencuba nasib berniaga air strawberi kira-kira tujuh tahun lalu dan tidak sama sekali menduga jus tersebut mendapat sambutan menggalakkan masyarakat setempat, khususnya pada bulan puasa.

“Sepanjang Ramadan, saya mampu menjual hingga 600 bungkus dalam masa dua jam setiap hari,” katanya ketika ditemui di gerai miliknya di Jalan Cabang Tiga Genting di sini.

Malah, menurut ibu kepada dua anak itu, pelanggannya juga sanggup beratur panjang hingga 100 meter untuk menikmati jus tersebut yang dijual pada harga RM3 sebungkus.

Bercerita lanjut, Nik Ayuani mengakui berniaga air strawberi tidak mudah kerana selain buah itu agak “manja” dan mudah rosak, harganya juga mahal.

Menurutnya, dia mendapatkan bekalan buah itu daripada pembekal di Cameron Highlands dan memerlukan 15 hingga 25 kilogram buah segar setiap hari bagi menjamin kualiti air strawberinya.

Wanita itu juga berkongsi rahsia di sebalik kesegaran dan warna menarik jus yang dijualnya, iaitu dengan merebus buah tersebut di atas api kecil selama satu jam.

“Ini untuk mengeluarkan rasa masam, kemudian buah dikisar dan dicampur air gula yang saya adun sendiri,” katanya yang dibantu tiga pekerja.

Nik Ayuani berkata dia turut menghasilkan jus strawberi secara botol yang diedarkan di luar Kelantan.

“Saya mampu menjual sekitar 100 botol jus asli strawberi setiap bulan yang dipos kepada pelanggan di luar Kelantan. Setiap botol yang mengandungi 350 mililiter jus dijual pada harga RM15,” katanya.

Sementara itu seorang pelanggan tetap, Mohd Farhan Ahmad, 35 dari Kampung Pengkalan Nangka di sini, berkata dia membeli jus tersebut hampir setiap hari.

“Saya akan datang sekitar 4.30 petang walaupun kedai hanya dibuka pada 5 petang untuk mengelakkan beratur panjang. Saya gemar beli di kedai ini sebab saya boleh rasa buah strawberi dalam jus itu seperti buah asli,” katanya yang membeli empat bungkus.-Bernama