• 2025-08-26 03:32 PM

KUCHING: Peluang untuk Sabah bekerjasama dalam syarikat penerbangan AirBorneo masih terbuka, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata cadangan kerjasama itu pernah dikemukakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum Sarawak mengambil alih MASwing.

“Ketika Sarawak mahu mengambil alih MASwing, kerajaan Sabah memaklumkan supaya tunggu dulu.

“Tetapi pintu kerjasama itu masih terbuka. Jika esok kerajaan Sabah mahu mengambil ekuiti dalam AirBorneo, apa salahnya?,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian cawangan Affin Bank Hikmah Exchange dan Pejabat Wilayah di sini hari ini.

Pada 12 Feb lepas, Abang Johari mengumumkan penubuhan AirBorneo susulan pemeteraian Perjanjian Jual Beli (SPA) antara kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG).

AirBorneo yang dijangka memulakan operasinya pada Januari 2026, juga telah melancarkan logo rasmi serta slogan jenama mereka pada 21 Ogos lalu. - Bernama