LANGKAWI: Airbus Defence and Space yakin pesawatnya jenis A400M terus mendapat perhatian di rantau ini, didorong oleh peningkatan permintaan terhadap penyelesaian mobiliti udara serba boleh di Asia Pasifik.

Atas alasan itu, Ketua bagi Asia Pasifik Zakir Hamid berkata syarikat itu sedang dalam proses perbincangan dengan beberapa kerajaan dan yakin dengan keupayaan pesawat itu untuk terus bertapak kukuh dan berkembang.

Pada masa ini, Malaysia kekal sebagai pasaran ketiga terbesar Airbus di Asia Pasifik, selepas China dan India.

“Bagi Airbus Defence and Space, pencapaian bermakna daripada kerjasama ini adalah program A400M yang menyaksikan Malaysia memainkan peranan perintis sebagai pelanggan pertama eksport kami di peringkat dunia.

“Tahun ini juga adalah yang ke-10 bagi operasi A400M dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), satu pencapaian dan memaparkan kebolehpercayaan dan kepelbagaian pesawat itu.

“Menerusi lebih 13,000 jam penerbangan, TUDM kini merupakan pengendali A400M paling aktif di dunia,“ katanya pada sesi taklimat media bersempena acara Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA) di sini, hari ini.

Kumpulan empat pesawat A400M Malaysia juga telah membantu misi daripada penghantaran ketenteraan, misi pengaman serta bantuan kemanusiaan ketika gempa bumi Palu 2018 dan pandemik COVID-19.

Zakir turut mengesahkan bahawa Indonesia bakal menerima pesawat A400M pertamanya dalam suku keempat 2025 dan pesawat itu sedang dalam proses dicat selain ujian bahan api dan daratan.

Airbus juga meninjau peluang pengembangan kumpulan pesawat A400M TUDM yang seiring dengan peningkatan integrasi pesawat tempur lebih maju.

Di acara LIMA, Airbus mengumumkan pencapaian baharu dengan TUDM membabitkan kontrak sokongan perkhidmatan diperluas bagi kumpulan A400M angkatan udara yang merangkumi peningkatan penyediaan alat ganti, perkhidmatan dan usaha di masa depan dalam memastikan kelangsungan kesiapsiagaan operasi.

Beliau berkata Airbus juga berminat untuk menawarkan pesawat pengangkut pelbagai peranan (MRTT) A330 bagi melonjakkan lagi kecekapan operasi.

Pesawat itu yang sudah beroperasi di rantau Asia Pasifik seperti Australia, Singapura dan Korea Selatan itu merangkumi keupayaan pengangkutan strategik dengan pengisian bahan bakar udara yang maju, sekali gus melanjutkan lagi kapasiti pesawat tempur dan memperkuat kesiapsiagaan pertahanan negara.

Airbus juga berhasrat memperkenalkan pesawat pengawasan maritim C295 (MSA) bagi meningkatkan perlindungan sempadan Malaysia.

Menyentuh perkhidmatan di serata Asia Tenggara, Zakir berkata pesawat C295 MSA itu menawarkan sistem misi lebih maju, kemampuan mencari dan menyelamat, rondaan lebih lama yang menjadikannya pilihan terbaik untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Ketika rakan serantau meneliti kemampuan pengangkutan udara, pengisian semula bahan api dan keupayaan pemantauan, Airbus bersedia menyampaikan penyelesaian maju dan sedia untuk operasi misi.

“Kami juga berbangga dapat mengukuhkan kerjasama dengan Malaysia dan menyokong operasi pertahanan dan keselamatan di serata Asia Pasifik,” katanya.