• 2025-07-25 08:21 PM

BUKIT KAYU HITAM: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk 200 kilogram (kg) lengkuas tanpa permit yang sah. Rampasan dilakukan selepas pemeriksaan ke atas sebuah kontena pada jam 9.40 malam semalam.

Menurut kenyataan AKPS, hasil pemeriksaan mendapati 200 kg lengkuas (Alpinia Galanga) daripada muatan hasil pertanian melebihi 44,000 kg tidak mempunyai Perakuan Pemasaran 3P daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Kesemua lengkuas yang dianggarkan bernilai RM3,200 itu disita untuk tindakan lanjut,“ kata AKPS.

Mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728), mengimport keluaran pertanian tanpa perakuan atau permit yang sah adalah satu kesalahan.

AKPS menegaskan komitmen mereka dalam memperketat kawalan di semua pintu masuk sempadan negara bagi memastikan kawalan biosekuriti terjamin serta membanteras aktiviti penyeludupan yang boleh mengancam industri pertanian dan keselamatan makanan negara. - Bernama