BUKIT KAYU HITAM: Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam merampas 974 kilogram (kg) pelbagai jenis sosej tanpa dokumen pengesahan import sah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasarudin M. Nasir berkata rampasan bernilai kira-kira RM14,000 itu dilakukan hasil pemeriksaan rutin anggotanya di laluan kenderaan awam (kereta) di kompleks berkenaan pada 6 hingga 7.10 malam.
“Pemeriksaan mendapati sebuah kenderaan awam cuba membawa masuk sejumlah besar makanan tanpa dokumen kelulusan yang sah serta tidak mematuhi pelabelan mengikut Akta Makanan 1983,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua barangan yang dirampas disimpan di setor sejuk untuk tindakan lanjut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Dalam kes berasingan, AKPS menolak kemasukan tiga warganegara asing kerana tidak memenuhi syarat kemasukan dan disyaki bukan pelancong tulen, di kompleks sama pada semalam.
Kesemua mereka terdiri lelaki warga India, Thailand dan Myanmar berumur 30-an dan telah diarahkan untuk berpatah balik ke negara asal masing-masing melalui laluan masuk yang sama. - Bernama