SEPANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menolak kemasukan 131 warga asing di Terminal 1 pada Jumaat lepas kerana gagal memenuhi syarat kemasukan.
Antara sebab penolakan termasuk tempahan penginapan yang diragui, kegagalan melapor diri di kaunter imigresen, dan jumlah wang sara diri yang tidak mencukupi.
“Isu kewangan ini penunjuk utama niat sebenar pelawat.”
“Sebagai contoh, ada yang mendakwa ingin tinggal selama sebulan tetapi hanya membawa wang sekitar RM500 sekali gus menimbulkan keraguan terhadap tujuan mereka,“ menurut kenyataan AKPS.
Operasi itu dijalankan dari pukul 3 petang hingga 10 malam dengan pemeriksaan lebih 300 warganegara asing di Balai Ketibaan Antarabangsa dan Pintu Perlepasan C1 hingga C37.
Seramai 96 lelaki dari Bangladesh, 30 lelaki dari Pakistan, dan lima warga Indonesia (empat lelaki dan seorang wanita) didapati melanggar syarat kemasukan.
AKPS KLIA menegaskan komitmen mereka dalam menjaga keselamatan sempadan negara.
“Sebarang percubaan masuk ke Malaysia dengan dokumen palsu atau tujuan tidak jelas akan dikenakan tindakan tegas,“ kata kenyataan itu.
Pelawat asing dinasihatkan memastikan dokumen perjalanan, penginapan, dan kewangan mereka lengkap sebelum tiba di Malaysia. – Bernama