KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) mengulangi komitmennya terhadap peranan utama ASEAN dalam hal ehwal serantau dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 menjelang beberapa siri mesyuarat peringkat tinggi berkaitan ASEAN yang akan dianjurkan oleh negara ini hujung tahun ini.
Duta Besar AS ke Malaysia Edgard D. Kagan berkata Washington kekal komited terhadap keterlibatannya dengan ASEAN dan bersedia untuk bekerjasama erat dengan Malaysia, khususnya dalam konteks kepengerusian ASEAN.
“Kami menjangkakan untuk terlibat secara berkesan dalam acara-acara berkaitan ASEAN yang akan datang,” katanya kepada media dalam sidang akhbar di kediamannya, Jumaat.
AS merupakan Rakan Dialog ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967 dan secara konsisten menyokong pembangunannya.
Kagan menegaskan bahawa AS berhasrat untuk terlibat pada tahap yang bersesuaian dan mengiktiraf rekod pencapaian Malaysia sebagai pemimpin ASEAN yang berkesan.
Beliau memuji kepimpinan Malaysia yang mantap dan konsisten dalam blok itu, sambil mengetengahkan usaha negara ini dalam memajukan keutamaan serantau serta mempertahankan peranan pemusatan ASEAN.
Sementara itu, Kagan menolak dakwaan bahawa negara-negara Asia Tenggara kini cenderung ke arah Beijing susulan tarif baharu AS dan peningkatan diplomasi serantau China termasuk lawatan Presiden Xi Jinping ke Malaysia, Vietnam dan Kemboja pada April lalu.
“Negara-negara di rantau ini membuat keputusan mereka sendiri. Mereka telah lama mempunyai hubungan kukuh dengan AS dan China.
“Kami tidak melihat hubungan itu sebagai sesuatu yang saling bercanggah,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada hubungan ekonomi kukuh antara AS dan Malaysia sebagai bukti keterlibatan berterusan Washington di rantau ini, dengan menyatakan jumlah eksport Malaysia ke AS yang tinggi dan kehadiran syarikat-syarikat Amerika sebagai tanda hubungan ekonomi yang semakin erat.
“Eksport ke AS amat penting dan jika ada yang meragui perkara itu, mereka pasti telah disedarkan dalam beberapa bulan kebelakangan ini,” katanya.
Kagan turut menyuarakan keyakinan terhadap rundingan perdagangan dua hala yang sedang berjalan antara kedua-dua negara, sambil memuji tahap profesionalisme dan komitmen Malaysia.
“Saya baru sahaja bertemu Menteri MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz. Kami mengadakan perbincangan yang terperinci dan saya sangat terkesan dengan kesungguhan Malaysia dalam menangani rundingan perdagangan ini.
“Terdapat banyak perkara yang boleh kita lakukan. Hubungan ini memang kukuh, namun masih ada ruang untuk diperkukuh,” katanya sambil menyeru kedua-dua kerajaan untuk terus komited dalam memperluaskan peluang perdagangan dan ekonomi.