NEW YORK: Jabatan Negara Amerika Syarikat pada Jumaat mengarahkan semua kedutaan dan konsulat AS di seluruh dunia untuk segera melaksanakan tapisan tambahan terhadap individu yang memohon visa untuk ke Universiti Harvard atas “apa jua tujuan”.
Menurut satu kabel diplomatik yang ditandatangani oleh Setiausaha Negara Marco Rubio dan disaksikan oleh media tempatan, tapisan tambahan itu merangkumi “saringan penuh terhadap aktiviti dalam talian” para pemohon.
Pemohon yang terlibat termasuk — tetapi tidak terhad kepada — pelajar yang bakal mendaftar, pelajar sedia ada, pensyarah, kakitangan, kontraktor, penceramah jemputan dan pelancong.
Perkataan “apa jua” telah digaris dan dicetak tebal dalam dokumen itu, yang menyatakan bahawa arahan saringan ini terpakai ke atas semua pemohon visa bukan imigran untuk “apa jua” tujuan.
Kabel itu mengarahkan pegawai konsular AS supaya meminta pemohon visa yang layak supaya menukar tetapan media sosial mereka kepada umum (public), sebelum merujuk kes mereka kepada Unit Pencegahan Penipuan untuk menjalankan tapisan menyeluruh termasuk aktiviti di media sosial serta kehadiran dalam talian secara umum, bagi mengenal pasti sebarang sebab ketidaklayakan kemasukan.
“Langkah tapisan dipertingkat ini bertujuan memastikan pegawai konsular dapat mengenal pasti pemohon visa yang memiliki rekod gangguan atau keganasan anti-Semitik, dan mempertimbangkan kelayakan visa mereka mengikut undang-undang imigresen AS,” menurut kabel berkenaan.
Media tempatan menyifatkan langkah itu sebagai peningkatan dalam pertikaian pentadbiran Trump terhadap institusi Ivy League itu.
Pada Selasa lalu, kerajaan AS turut menggantung penjadualan temu duga baharu untuk pemohon visa pelajar, dengan menyatakan pihaknya sedang mempertimbangkan keperluan semua pelajar asing yang memohon untuk belajar di Amerika Syarikat menjalani saringan media sosial.