SHAH ALAM: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Amirudin Shari hari ini menafikan bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 akan dikosongkan.
Menyifatkan dakwaan itu sebagai imaginasi dan tidak berasas, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu berkata pengosongan kerusi demi memberi laluan kepada seseorang individu bukanlah semudah yang disangka.
“Ia bukan semudah itu, ia memerlukan satu penelitian,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan E-Bike kepada Polis Selangor di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, di sini hari ini.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata demikian mengulas dakwaan kononnya kerusi DUN Sungai Tua akan dikosongkan untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan, serta memberi laluan kepada Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bertanding.
Jumaat lepas, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO dan berhasrat menyertai PKR.