KUALA LUMPUR: Thailand bersetuju untuk memaklumkan kepada Malaysia mengenai sebarang pelepasan air dari empangan di negara itu sekurang-kurangnya tiga hingga empat hari lebih awal, sebagai langkah persediaan menghadapi limpahan air Sungai Golok di Kelantan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu dicapai dalam pertemuannya dengan rakan sejawatan dari Thailand Anutin Charnvirakul, yang juga Menteri Dalam Negeri negara tersebut, di luar persidangan Sesi Ke-8 Platform Global bagi Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR) di Geneva, hari ini.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan Malaysia mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan dan mengeluarkan amaran awal kepada penduduk terlibat, khususnya di sekitar lembangan Sungai Golok, menjelang musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini.
“Alhamdulilah cadangan ini telah diterima dan dipersetujui oleh pihak Thailand. Satu mekanisme pemakluman awal akan diwujudkan demi keselamatan dan kebajikan rakyat di kedua-dua negara.
“Ini merupakan langkah awal yang penting sebelum diperhalusi dengan tindakan susulan lain bagi memastikan kesiapsiagaan bencana dapat dilaksanakan secara lebih berkesan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid berkata limpahan air luar biasa di Sungai Golok dan kawasan sempadan dengan Thailand berlaku susulan siapnya projek tebatan banjir di sebelah Thailand, diikuti dengan pelepasan air dari empangan yang mengakibatkan banjir besar dan kerosakan struktur benteng di bahagian jajaran Malaysia.
“Akibatnya, paras air di Kelantan telah meningkat melepasi paras normal,“ kata Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid turut menyambut baik pemeteraian perjanjian bagi projek Pembinaan Jambatan Kedua Rantau Panjang-Sungai Golok, serta perancangan melaksanakan kerja-kerja mendalamkan muara Sungai Golok dan pembinaan benteng sungai, yang dijadualkan bermula Oktober ini.
“Saya percaya, segala langkah yang dipersetujui hari ini mencerminkan komitmen tinggi kedua-dua negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana dan keselamatan sempadan.
“Semoga hubungan erat Malaysia–Thailand terus diperkukuh demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara,“ katanya.
Ahmad Zahid kini mengetuai delegasi Malaysia ke GPDRR yang berlangsung selama dua hari, bermula semalam.