KUALA LUMPUR: Seorang perunding bebas yang juga anak kepada bekas Menteri Dalam Negeri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah bernilai RM100,000, enam tahun lepas.

Muhammad Faisal Hamzah, 40, anak kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa menerima wang berkenaan daripada Izmir Abd Hamid sebagai upah bagi Heitech Padu Berhad melantik Syarikat Rimba Merpati dan Syarikat Per My Solutions sebagai konsultan pemasaran disebabkan pengaruh yang dimiliki tertuduh.

Syarikat berkenaan dibayar komisen berjumlah RM700,000 selepas Heitech Padu dianugerahkan Tender Supply, Rental, Implementation, Training, Support and Maintenance of Security Infrastructure bernilai RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di pusat beli-belah, Jalan Dutamas 1 di sini pada Mac 2018 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, selain melapor diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

“Saya mohon mahkamah mengambil kira latar belakang tertuduh yang juga anak kepada bekas menteri,” katanya.

Peguam Ravinder Singh Dhalliwal yang mewakili Muhammad Faisal pula memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaaan tetap serta perlu menanggung keluarga.

“Kami tidak membantah syarat tambahan dimohon pendakwaan, bagaimanapun anak guam perlu ke luar negara kerana dalam proses untuk membuka hostel di Thailand dan dia perlu pergi ke sana antara dua hingga tiga hari dalam masa sebulan,” katanya.

Hakim Rozina Ayob membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan dan tertuduh disenaraihitamkan untuk ke luar negara.

Mahkamah menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan kes.

Pada 5 April tahun lepas, Muhammad Faisal dan rakan perniagaannya Azizul Abdul Halim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan atas sembilan pertuduhan mengemukakan invois penjualan minyak masak palsu dan memiliki minyak masak bersubsidi melebihi had.