PORT DICKSON: Seorang anggota polis cedera ringan pada kaki kanan selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki tempatan yang melarikan diri daripada pemeriksaan polis, di Batu 4 Jalan Pantai Port Dickson, di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin berkata dalam kejadian pada 1.40 pagi semalam (1 Jan), suspek yang berusia 37 tahun berjaya ditahan berdekatan persimpangan lampu isyarat Batu 1, Jalan Pantai Port Dickson selepas dikejar lima kereta peronda (MPV).
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menjumpai beberapa guni kabel yang telah dibakar dan paket dadah berisi syabu dianggarkan seberat 19 gram serta ganja anggaran 55 gram dalam Mitsubishi Triton putih itu,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Maslan berkata suspek yang beralamat di Hulu Langat, Selangor memiliki 26 rekod kesalahan lampau selain ujian saringan air kencing juga positif ganja.
Suspek direman sehingga Sabtu (4 Jan) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307, Seksyen 379 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi lapan saat yang dimuat naik seorang pemilik akaun TikTok.