• 2025-09-02 05:13 PM

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis cawangan Istana Negara maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas ketika cuba mengelak sebatang pokok tumbang di Jalan Sungai Tua, Ulu Yam, Selangor, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ibrahim Husin menyatakan kejadian berlaku kira-kira jam 7.10 pagi ketika mangsa berusia 32 tahun itu dalam perjalanan dari Batang Kali ke tempat kerjanya di ibu negara.

Siasatan awal mendapati mangsa cuba mengelak pokok tumbang namun hilang kawalan ke atas motosikalnya sebelum terbabas di lorong bertentangan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan mayat dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Insp Khairul Salleh Abdull Rahman melalui talian 03-6064 1222 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. – Bernama