KUALA LUMPUR: Keanggotaan wanita dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) direkodkan kurang dua peratus daripada sasaran 10 peratus yang ditetapkan dalam Kertas Putih Pertahanan, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.
Bagaimanapun, beliau berkata penglibatan wanita dalam ATM boleh ditingkatkan khususnya dengan penggunaan teknologi dalam bidang pertahanan, yang membuka ruang luas kepada golongan itu menganggotai pasukan keselamatan negara.
“Kalau kita lihat aspek ini (penggunaan teknologi), melalui Kertas Putih Pertahanan, kita boleh mencapai sasaran kita...yang paling penting, kita nak tingkatkan promosi penglibatan wanita dalam ATM,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) mengenai sasaran 10 peratus keanggotaan wanita yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.
Adly berkata pada tahun ini, kementerian akan mengadakan kajian semula terhadap Kertas Putih Pertahanan itu termasuk aspek penyertaan wanita selepas lima tahun ia dibentangkan di Parlimen.
Menjawab soalan asal Siti Mastura mengenai bilangan anggota tentera wanita, Adly berkata sehingga 31 Dis tahun lepas, seramai 9,550 anggota wanita berkhidmat dalam ATM merangkumi 6,574 anggota tentera darat, 1,953 (tentera laut) dan 1,023 (tentera udara).
Beliau berkata 222 anggota wanita telah berkhidmat di luar negara dalam misi kemanusiaan, misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), latihan bersama negara-negara rakan strategik serta tugasan diplomatik ketenteraan.
Adly berkata sehingga kini, ATM melaksanakan tiga misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa dengan penglibatan 118 anggota wanita, antaranya misi membawa pulang rakyat Palestin yang cedera untuk rawatan di Malaysia melibatkan penugasan lapan anggota wanita iaitu 11 peratus daripada 70 penglibatan keseluruhan anggota misi.
Ini termasuk Op STARLIGHT bagi memberi bantuan perubatan kepada pelarian Rohingya di Cox’s Bazaar, Bangladesh melibatkan penugasan 89 anggota wanita, iaitu 36 peratus daripada 245 jumlah keseluruhan anggota misi.
Selain itu, beliau berkata Op STARLIGHT bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye melibatkan penugasan 21 anggota wanita iaitu 19 peratus daripada 110 penglibatan keseluruhan anggota misi.
Beliau berkata 85 anggota wanita turut dihantar bagi penugasan dalam Misi Pengaman PBB di Lubnan.