BAGHDAD: Angka kematian akibat demam berdarah Crimea-Congo (CCHF) di Iraq meningkat kepada 19 sejak awal tahun ini, menurut Kementerian Kesihatan Iraq pada Khamis, lapor Xinhua.

Jurucakap kementerian Saif al-Badr berkata dalam satu kenyataan bahawa sejumlah 123 kes CCHF telah direkodkan di seluruh negara, dengan 19 kematian.

Beliau memaklumkan wilayah selatan Dhi Qar mencatat jumlah jangkitan tertinggi dengan 36 kes dan satu kematian, diikuti Baghdad dengan 18 kes dan lima kematian.

Kemas kini terbaharu ini menunjukkan peningkatan berbanding angka yang diumumkan pihak berkuasa kesihatan Iraq pada 5 Jun lepas, iaitu 107 kes dan 16 kematian.

Dalam kenyataan itu, al-Badr turut menggesa pihak berkuasa keselamatan mengambil langkah sewajarnya bagi membendung aktiviti penyeludupan ternakan yang boleh menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit.

CCHF, mempunyai simptom seperti demam, sakit otot, sakit kepala dan pendarahan, mempunyai kadar kematian tinggi antara 10 hingga 40 peratus.

Sejak akhir 1970-an, CCHF menjadi penyakit virus demam berdarah paling lazim di Iraq. Ia menular kepada manusia terutamanya melalui gigitan kutu atau sentuhan dengan darah dan tisu haiwan dijangkiti, khususnya ternakan.

Iraq telah mengalami beberapa wabak berulang CCHF sejak itu, dengan kejadian terbesar direkodkan pada 2023 apabila lebih 587 kes dan 83 kematian dilaporkan, kebanyakannya di wilayah selatan.