KUALA LUMPUR: Belanjawan 2025 memperuntukkan RM421 bilion, terbesar dalam sejarah, diselaraskan secara strategik dengan kerangka Ekonomi MADANI, memberi tumpuan kepada menarik pelaburan berkualiti tinggi, memacu peluang perniagaan, melaksanakan projek untuk kesejahteraan rakyat dan tidak menjejaskan kemampuan mereka dalam membeli barangan keperluan dan perkhidmatan.

Membentangkan belanjawan itu di Parlimen hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia juga akan mewujudkan peluang pekerjaan dan pada masa yang sama menangani ketirisan kewangan untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan awam.

Inisiatif yang diumumkan dalam belanjawan tersebut dirangka untuk mempercepatkan perjalanan Malaysia ke arah mewujudkan negara sebagai kuasa ekonomi di Asia dan mencatatkan pertumbuhan mampan dan berdaya tahan.

“Prestasi ekonomi mengatasi jangkaan sama ada dari segi pertumbuhan, pelaburan dan nilai ringgit, menggambarkan keyakinan pelabur dan kejayaan awal daripada langkah pembaharuan Ekonomi MADANI.

“Oleh itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 diunjur lebih kukuh antara 4.8 dan 5.3 peratus berbanding antara 4.0 dan 5.0 peratus sebelumnya.

“Tahun depan, kita yakin ekonomi negara berkembang kukuh antara 4.5 dan 5.5 peratus, didokong langkah dan strategi Belanjawan MADANI Ketiga 2025,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

Selain itu, Perdana Menteri berkata cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) akan dilaksanakan lebih progresif dan tidak membebankan rakyat dengan peluasan skop SST secara progresif yang akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei 2025.

“Cukai jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan oleh rakyat. Sebaliknya, ia akan dikenakan ke atas barangan bukan keperluan asas seperti barang premium yang diimport,” kata Anwar.

Manakala skop cukai perkhidmatan akan diperluas meliputi perkhidmatan komersial antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi.

Kerajaan juga bercadang meluaskan asas cukai secara progesif dengan memperkenalkan cukai dividen pada kadar 2.0 peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima oleh pemegang saham individu bermula tahun taksiran 2025.

Selain itu, penyasaran subsidi petron RON95 turut dicadang dilaksanakan pada pertengahan tahun depan dengan penjimatan yang dicapai akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.

Sebagai galakan terhadap penggunaan teknologi rendah karbon, Anwar berkata kerajaan bersetuju memperkenalkan cukai karbon ke atas industri besi dan keluli serta tenaga di Malaysia menjelang 2026.

Bagi menggalakkan peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) pemasangan tempatan (CKD), kerangka insentif cukai EV sedia ada telah distruktur semula manakala galakan penggunaan motosikal elektrik CKD sehingga RM2,400 akan diteruskan dengan peruntukan RM10 juta.

-- LAGI