• 2025-08-18 11:12 AM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan jentera kerajaan supaya teliti dengan fenomena “AI Productivity Paradox” dalam pelaksanaan transformasi digital negara.

Beliau berkata risiko tersebut merujuk kepada situasi di mana pelaburan besar dalam kecerdasan buatan dan digitalisasi tidak semestinya meningkatkan produktiviti.

“Saya harap (AI Productivity Paradox) diberikan perhatian khusus di Kementerian Digital, Komunikasi dan ketua-ketua jabatan, kita tak mahu jadi (berlaku) apa yang dikatakan ‘trough of disillusionment’ kerana andaian yang dibuat dengan dana besar (bagi) seluruh program digital transformasi dan AI ini mencecah puluhan bilion ringgit untuk lima tahun akan datang,“ katanya.

Fasa ‘trough of disillusionment’ berlaku apabila jangkaan tinggi terhadap teknologi baharu tidak tercapai, menyebabkan kekecewaan sebelum teknologi itu mencapai kematangan sebenar.

Anwar meminta Kementerian Digital dan Komunikasi meneliti isu tadbir urus data, cabaran integrasi serta penilaian hasil pelaburan IT dan AI.

Beliau berkata kajian United Nations University, McKinsey dan JP Morgan menunjukkan hanya 3% hingga 7% peningkatan penggunaan AI benar-benar memberi kesan kepada produktiviti atau pendapatan pekerja.

“Saya minta dalam tempoh dua minggu atau satu bulan, Ketua Setiausaha Negara dengan semua ketua jabatan merenung perkara ini dan beri jawapan awal untuk menangani permasalahan ini,“ katanya.

Anwar juga menegaskan teknologi AI seperti ChatGPT tidak boleh dijadikan sumber mutlak dalam hal agama kerana boleh mengelirukan masyarakat.

Beliau berkata sebuah pertubuhan Islam di London menggunakan ChatGPT untuk menghasilkan teks menyerupai ayat al-Quran, tetapi ia bukan ayat sebenar.

“Productivity paradox belanja berbilion ringgit untuk menjamin produktiviti, ketelusan mengurangkan kerenah birokrasi, menghentikan amalan rasuah dan komisen kerana AI itu boleh mengawasi, tetapi hasilnya tidak ke mana,“ katanya.

Anwar menekankan tadbir urus yang baik lebih penting daripada penswastaan dalam meningkatkan kecekapan kerajaan.

“Penswastaan itu tidak menunjukkan ada peningkatan dari segi produktiviti, kecekapan. Jadi dia bukan golden rule. Golden rule masih good governance (tadbir urus baik) prinsipnya,“ katanya. – Bernama