KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melahirkan rasa sedih atas pemergian pengasas dan pemimpin kemerdekaan Namibia, Sam Nujoma.
Dalam catatan di Facebook Anwar berkata komitmen Nujoma yang tidak berbelah bahagi, kesungguhan, dan kegigihannya, dengan matlamat membebaskan negara daripada cengkaman apartheid dan penjajahan, membawa presiden pertama Namibia itu menghadapi perjuangan yang hebat sebelum negara itu memperoleh kemerdekaan pada 1990.
“Nama beliau berhak ditempatkan sebaris dengan nama-nama besar dalam kalangan pengasas pembangunan negara yang penting di Afrika,“ katanya.
Anwar berkata Malaysia pernah memainkan peranan dalam misi pengaman di Namibia menerusi penglibatannya dalam Kumpulan Bantuan Peralihan Bangsa-bangsa Bersatu (UNTAG) yang menyelia pilihan raya negara itu dan peralihan kepada pemerintahan sendiri.
“Dahulu, kini, dan selamanya kami berdiri teguh dalam solidariti bersama dengan rakyat Namibia.
“Kami bersama dengan mereka dalam meratapi kehilangan seorang pemimpin yang begitu gigih dalam perjuangan bagi menjamin kebebasan, dan pragmatismenya menempa jalan yang ke arah menuju perdamaian dan kemajuan,“ katanya.
Menurut laporan media, Nujoma meninggal dunia pada usia 95 tahun di ibu negara Windhoek pada hari Sabtu.
Dilahirkan pada 12 Mei 1929, Nujoma berkhidmat sebagai presiden pertama negara dari 1990 hingga 2005.