KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyeru supaya berlaku anjakan paradigma dalam dasar awam, dengan menggesa negara agar tidak lagi melihat isu umur panjang sekadar satu trend demografi.

Dalam ucaptama pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025 di sini, Anwar berkata dasar awam perlu mengiktiraf umur panjang sebagai satu bentuk transformasi struktur yang menuntut pelaksanaan reformasi proaktif dalam sistem penjagaan kesihatan, perlindungan sosial dan perancangan ekonomi.

“Untuk menjadi peneraju yang bersifat inisiatif, kita mesti melabur dalam sistem kesihatan, penjagaan sosial, perumahan, instrumen kewangan dan industri yang menyokong masyarakat menua.

“Ini merupakan satu isyarat jelas agar kita memberi penekanan lebih besar terhadap pelaburan dalam bidang kesihatan, khususnya penjagaan pencegahan, pendidikan kesihatan awam dan sistem sokongan berasaskan komuniti.

“Kita mesti beralih daripada sistem yang merawat penyakit kepada sistem yang mengutamakan kesejahteraan sepanjang hayat,” katanya sambil menambah bahawa ekonomi umur panjang global diunjurkan melebihi US$65 trilion (kira-kira RM275.8 trilion) menjelang 2030.