PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak supaya tidak mempertikai penglibatan aktivis tempatan dalam misi kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin.
Beliau berkata ketika seluruh dunia termasuk Mesir, Qatar dan Hamas memberi tumpuan terhadap usaha mencari jalan damai, rakyat Malaysia sepatutnya turut mendoakan kejayaan usaha itu.
Anwar menegaskan tidak wajar ada pihak di dalam negara ini cuba menimbulkan polemik politik tidak sihat ketika Hamas sendiri menunjukkan komitmen ke arah perdamaian.
“Orang dibunuh, negeri dijajah, anak-anak kecil dan wanita terus dibunuh... jadi, kita nak hentikan itu dulu,“ katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Fathurrahman PPAM Melinjau di Presint 11 di sini.
Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada sukarelawan Malaysia yang menyertai misi bantuan ke Gaza menerusi flotila kemanusiaan.
Beliau menyifatkan keberanian mereka sebagai pengorbanan besar dengan menyatakan tidak semua orang sanggup menggadai nyawa untuk membantu rakyat Gaza.
Mengenai sembilan rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan yang ditahan rejim Israel pada 8 Oktober lepas, Anwar berkata urusan membawa pulang mereka sedang diuruskan dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.
“Kita doakan... insya-Allah, mereka akan sampai ke Istanbul... dia (wakil Turkiye) janji telefon pukul 3.30 petang ini,“ katanya.
Media sebelum ini melaporkan penerbangan yang membawa 95 individu dipercayai aktivis misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza termasuk sembilan rakyat Malaysia dijangka tiba di Turkiye hari itu.
Perdana Menteri juga menyeru agar tidak mempertikaikan kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan itu.
“Kita sekarang minta semua negara termasuk rayuan kita kepada Trump supaya memastikan perjanjian ini dimeterai dan dilaksanakan,“ katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat bersama hampir 500 jemaah selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri.
Ketibaan beliau yang lengkap berbaju Melayu dan bersampin berona biru muda serta bersongkok disambut mesra oleh pengurusan masjid, para jemaah dan pelajar sekolah.
Solat Jumaat itu dipimpin oleh imam Ustaz Khairul Anuar Mohd Saruwan dan Anwar turut mendengar khutbah bertajuk “Lelaki Qawwam Bukan Sekadar Nama”.
Perdana Menteri akan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 4 petang itu.
Belanjawan 2026 bertajuk “Memacu Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat” dijangka menjadi penanda aras penting bagi kesinambungan dasar ekonomi MADANI.
Belanjawan MADANI Keempat itu dibina atas usaha kerajaan memperkukuh tatakelola bagi menoktahkan ketirisan dan mengembalikan hasil penjimatan kepada rakyat terbanyak. – Bernama