• 2025-10-10 06:38 PM

KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak menerima peruntukan pembangunan tertinggi dalam Belanjawan 2026 dengan masing-masing berjumlah RM6.9 bilion dan RM6 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan peruntukan kepada Sabah meningkat berbanding RM4.4 bilion pada 2022 manakala peruntukan untuk Sarawak terus meningkat daripada RM2.9 bilion dalam tempoh yang sama.

Beliau menjelaskan peningkatan ini mencerminkan komitmen nyata kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri lain.

Kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak ditingkatkan kepada RM600 juta berbanding RM300 juta pada 2023 mulai tahun ini.

Kerajaan turut menyediakan RM1.2 bilion bagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik di Sabah meskipun kawal selia bekalan elektrik telah diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri.

Projek Talian Penghantaran Southern Link akan dibiayai dengan peruntukan sebanyak RM765 juta bagi memastikan kesinambungan bekalan elektrik jangka panjang di negeri itu.

Ini susulan kejadian tanah runtuh di Penampang yang telah memutuskan dua talian penghantaran elektrik voltan tinggi dan menyebabkan gangguan bekalan kepada lebih 230,000 pengguna.

Projek air Sabah yang melibatkan peruntukan RM1 bilion sejak 2024 kini dalam fasa pelaksanaan dan dijangka siap menjelang tahun hadapan.

Antara projek yang terlibat termasuk pemasangan paip baharu di Tawau serta naik taraf paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.

Sebanyak RM1.67 bilion disediakan tahun hadapan untuk projek Pan Borneo Sabah bagi memastikan pelaksanaannya mengikut jadual.

Sarawak-Sabah Link Road Fasa 1 dijangka siap pada November 2026 manakala SSLR Fasa 2 sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pertengahan 2029.

Surat Setuju Terima bagi Projek Lebuhraya Trans Borneo akan dikeluarkan seawal suku pertama tahun hadapan untuk melengkapkan rangkaian jalan penghubung antara Sabah dan Sarawak.

Kerajaan juga akan menaik taraf struktur turapan jalan di seksyen Durin dan Salim di bawah Red Line di Sibu dengan peruntukan RM350 juta.

Jumlah keseluruhan kos projek infrastruktur rakyat di kedua-dua negeri kini mencecah RM48 bilion.

Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI akan dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia melibatkan laluan sepanjang 3,190 kilometer dengan kos RM2 bilion.

Laluan ini akan menghubungkan Sedili di Johor ke Kuching dan Sibu di Sarawak kemudian ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau di Sabah.

Sebagai tambahan RM20 juta turut disediakan bagi menambah baik tapak dan ruang niaga Tamu Desa yang dilengkapi kemudahan asas. – Bernama