• 2025-10-06 03:41 PM

KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah membelanjakan RM229.93 juta bagi kapal berusia melebihi 30 tahun dan RM78 juta bagi bot berusia antara 11 hingga 20 tahun.

Perbelanjaan itu menunjukkan kebergantungan terhadap aset lama yang berisiko dari segi fungsi dan kos.

Pelaksanaan kerja refit secara berfasa tanpa perancangan menyeluruh menyebabkan peningkatan kos sebanyak RM8.88 juta.

Denda lewat berjumlah RM2.27 juta masih belum dikutip daripada syarikat yang gagal menyiapkan kerja mengikut jadual.

Kelemahan kawalan pembayaran oleh APMM turut dikenal pasti terhadap perkara yang melibatkan tuntutan bernilai RM32.34 juta tanpa invois pembekal.

Bayaran RM59,800 dibuat bagi peralatan yang tidak dibekalkan dan RM144,536 bagi peralatan tidak mengikut spesifikasi.

Ujian teknikal Harbour Acceptance Test (HAT) dan Sea Acceptance Test (SAT) tidak dilaksanakan sebelum penerimaan aset.

Beberapa bot tidak dapat beroperasi dan memerlukan pembaikan dalam tempoh waranti dengan skop kerja bernilai RM173,075.

Penemuan ini menunjukkan keperluan APMM memperkukuh perancangan, pematuhan kewangan dan kawalan kontrak.

LKAN mengesyorkan APMM merancang dengan teliti kerja penyenggaraan kapal dan bot agar peruntukan dibelanjakan secara optimum.

APMM juga disyorkan memastikan kerja penyenggaraan disiapkan pada tahun semasa bagi mengelakkan risiko kenaikan kos.

Agensi itu perlu memastikan denda dikutip daripada syarikat yang lewat menyempurnakan kerja penyenggaraan.

Invois pembekal perlu disertakan bagi tuntutan untuk tujuan pengesahan bagi mengekang tuntutan berlebihan.

APMM juga perlu memastikan semua kerja penyenggaraan kapal dan bot hanya diluluskan bayaran selepas pelaksanaan HAT dan SAT.

Ini selaras dengan amalan kejuruteraan terbaik dan prosedur penerimaan aset bagi menjamin kualiti dan nilai untuk wang kerajaan. – Bernama