JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan sebuah vesel nelayan tempatan bersama lima kru selepas disyaki melakukan aktiviti penangkapan ikan di luar zon yang dibenarkan. Kejadian itu berlaku kira-kira 4.5 batu nautika tenggara Pulau Tinggi, Mersing.
Menurut Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin, tangkapan dibuat hasil rondaan susulan aduan awam mengenai kehadiran vesel mencurigakan di kawasan larangan. Pemeriksaan mendapati vesel tersebut menjalankan aktiviti menunda ikan dalam jarak kurang daripada lima batu nautika dari daratan.
“Siasatan awal menunjukkan vesel ini bukan sahaja melanggar zon penangkapan, malah beroperasi di luar waktu yang dibenarkan. Ia juga dikendalikan oleh individu yang bukan pemilik berdaftar, satu pelanggaran jelas di bawah Akta Perikanan 1985,“ jelas Suhaizan.
Lima kru lelaki tempatan berusia antara 34 hingga 50 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Vesel beserta peralatan menangkap ikan turut disita dan dibawa ke Pos Maritim Teluk Gading untuk tindakan lanjut.
Suhaizan menegaskan APMM akan terus memperketat pemantauan bagi membendung aktiviti penangkapan ikan haram, terutamanya yang melanggar zon ditetapkan. Beliau menggesa nelayan mematuhi peraturan dan melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Mersing di 07-219 9404.
- Bernama