KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) akan mengenakan tarif baharu sebanyak 25 peratus ke atas semua produk import dari Malaysia, berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini. Keputusan itu diumumkan menerusi surat Presiden AS Donald Trump kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam surat tersebut, Trump menyatakan bahawa kadar 25 peratus itu lebih rendah daripada yang diperlukan untuk menangani defisit perdagangan AS dengan Malaysia. Namun, beliau menegaskan tiada tarif akan dikenakan jika syarikat Malaysia memilih untuk menghasilkan produk di AS.
“Washington akan memastikan kelulusan diberikan dengan pantas dan profesional, dalam tempoh beberapa minggu sahaja,“ menurut surat itu.
Trump turut memberi amaran bahawa AS akan mengenakan tarif balas sekiranya Malaysia menaikkan tarif ke atas produk AS. Rundingan antara kedua-dua negara telah berlangsung sejak April lalu, dengan Malaysia berusaha mengurangkan kadar tarif sebelumnya iaitu 24 peratus.
Pengumuman ini dibuat sebelum lawatan Setiausaha Negara AS Marco Rubio ke Kuala Lumpur bagi menghadiri persidangan ASEAN-AS. - Bernama