KUALA LUMPUR: ASEAN berpotensi menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030 jika rantau ini mengekalkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang stabil pada 4.0 hingga 5.0 peratus, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata unjuran pertumbuhan KDNK ASEAN bagi 2025 pada masa ini sebanyak 4.7 peratus seperti yang dikongsi oleh Sekretariat ASEAN.
“Bagaimanapun, keadaan amat dinamik. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga baru sahaja menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global.
“Semuanya bergantung pada situasi ekonomi global,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN 2026–2030 di sini hari ini.
Terdahulu, dalam ucapan, Tengku Zafrul berkata Pelan Strategik AEC selama lima tahun itu akan memastikan dasar-dasar ASEAN sentiasa relevan dan dikemas kini supaya blok itu lebih responsif terhadap keperluan perniagaan yang sentiasa berubah dan dalam mendepani cabaran baharu.
“Sebagai fasa pertama dalam visi jangka panjang ini, pelan itu akan menjadi pelan hala tuju yang menyeluruh, menggariskan matlamat yang jelas dan boleh dilaksanakan.
“Ia telah dibangunkan dengan teliti untuk melaksanakan aspek ekonomi dalam Visi Komuniti ASEAN 2045, dengan memanfaatkan peluang dan potensi besar ASEAN,” katanya.
Tengku Zafrul berkata Pelan Strategik AEC akan memainkan peranan penting dalam membolehkan ASEAN mencapai matlamatnya untuk menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030.
Katanya pelan itu menekankan untuk mewujudkan rangka kerja ekonomi digital yang kukuh, bertujuan meningkatkan ekonomi digital ASEAN untuk mencapai US$2 trilion menjelang 2030.
Beliau berkata pelan itu jelas menunjukkan kesediaan ASEAN untuk melaksanakan transformasi, meningkatkan kesalinghubungan dan menggalakkan inovasi, semuanya berteraskan kepada prinsip kemampanan dan keterangkuman.
“Kesediaan ini telah mengukuhkan kedudukan dan tarikan ASEAN di peringkat global.
“Kami yakin usaha ASEAN dalam bidang seperti produktiviti pembuatan, kecekapan sumber, pembiayaan dan pelaburan hijau serta jaminan dan kelestarian tenaga akan memastikan rantau ini mempunyai daya tahan untuk mendepani cabaran masa depan dan merebut peluang keemasan,” katanya.