KUALA LUMPUR: Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re) melancarkan Asean Insurance Pulse 2023, terbitan edisi ketujuh Thought Leadership serantaunya, yang memfokuskan mengenai inflasi dan kesannya kepada penanggung insurans Asean.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Re Ahmad Noor Azhari Abdul Manaf berkata rantau Asean, yang sebahagian daripadanya terdiri daripada pasaran yang sedang pesat membangun dan pasaran telah matang, turut mengalami inflasi.

Namun begitu, beliau berkata kebanyakan pemain insurans tidak biasa dengan kerumitan, kepantasan dan ketinggian lonjakan inflasi yang berlaku dalam tempoh yang singkat.

“Kami di Malaysian Re, berminat untuk mengetahui bagaimana penanggung insurans Asean menangani fenomena ini, dan melihatnya sebagai cabaran utama, sejauh mana mereka bersedia dan apa yang mereka dengar daripada pemegang polisi mereka dari segi keperluan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asean Insurance Pulse 2023 dilancarkan oleh Pesuruhjaya Pihak Berkuasa Penyeliaan Insurans Vietnam Ngo Viet Trung dan disaksikan oleh Pengerusi Majlis Insurans Asean Shahrildin Jaya, Setiausaha Agung Majlis Insurans Asean Christian Wanandi, dan Ahmad Noor Azhari semasa Sidang Kemuncak Insurans Asean kelima di Ha Long, Vietnam.

Malaysian Re berkata seperti yang dinyatakan dalam penemuan utama Asean Insurance Pulse 2023, lonjakan inflasi mempengaruhi sebahagian besar tahun 2022, mengakibatkan pengetatan dasar monetari dan sekali gus menyebabkan turun naik pasaran modal serta susut nilai mata wang dalam beberapa pasaran sedang pesat membangun.

Berdasarkan 24 temu bual berstruktur bersama eksekutif yang mewakili syarikat insurans (semula) serantau dan antarabangsa, pengantara, penggubal polisi dan persatuan perdagangan, penemuan itu juga menyatakan bahawa inflasi tidak menjejaskan semua penanggung insurans Asean secara sama rata di seluruh pasaran Asean dan sangat berbeza mengikut model perniagaan.

“Mereka yang mempunyai bahagian yang tinggi dalam talian peribadi seperti insurans motor, harta dan perubatan adalah yang paling terjejas berbanding mereka yang tertumpu pada talian komersial atau dalam insurans semula,“ katanya.

Ahmad Noor Azhari berkata inflasi tidak membuat penanggung insurans rantau itu dalam keadaan leka kerana mereka sudah mula pulih sebelum berakhirnya wabak dan, di beberapa pasaran Asean, inflasi telah menjadi sebahagian daripada realiti mereka sejak sekian lama.

Beliau berkata penanggung insurans mempunyai langkah pengurusan risiko untuk menguji kesan inflasi ke atas hidup mereka, tetapi kebimbangan utama adalah dengan pemegang polisi, iaitu pengguna, yang sering memandang rendah risiko tidak dilindungi oleh insurans sepenuhnya.

“Kami berharap laporan tahun ini akan menjadi rujukan yang berharga kerana temu bual kualitatif dan kebiasaan kami dengan industri dan pemacunya telah membolehkan kami mengenal pasti bagaimana penanggung insurans Asean menangani fenomena ini, dan mereka melihat sebagai cabaran utama dan sejauh mana mereka bersedia, “ katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai penemuan Asean Insurance Pulse 2023, muat turun salinan di www.malaysian-re.com.my.–Bernama