LANGKAWI: ASEAN mengenal pasti tiga intervensi utama dalam usaha menangani isu keciciran dan pelajar tercicir atau out-of-school children and youth (OOSCY) secara bersama, iaitu perluasan prasekolah, penggunaan teknologi dan guru kompeten.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata isu itu menjadi tumpuan utama dalam sesi kenyataan bersama yang berlangsung sempena Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN (#EduRoundtables2025) di sini selama dua hari yang bermula semalam.
“Tumpuan kita pada mesyuarat kali ini adalah isu keciciran, out of school children and youth yang memberikan tumpuan kepada beberapa intervensi penting untuk kita lihat sebagai satu rumpun ASEAN mengatasi isu ini.
“Jadi dalam mesyuarat sebentar tadi, pimpinan-pimpinan negara ini telah pun memberikan pandangan masing-masing dan bagaimana ASEAN boleh bergerak sebagai satu komuniti untuk bersama-sama melihat isu ini secara serius,” katanya.
Beliau berkata antara pendekatan awal yang dibincangkan ialah penguatkuasaan dasar pendidikan wajib peringkat prasekolah seperti dilaksanakan di Brunei.
“Brunei telah pun mempelopori agenda itu, disebut dalam ucapan Menteri Pendidikan Brunei sebentar tadi, bahawa antara cara untuk memastikan bahawa anak-anak dapat hak mereka bermula dengan menguatkuasakan undang-undang untuk dasar pendidikan wajib prasekolah.
“Dan sebenarnya kita pun sedang melihat keadaan itu dan di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kita akan masuk Parlimen untuk sesi kali ini. Mudah-mudahan kita sempat untuk bentangkan pindaan kita untuk dasar pendidikan wajib, sekolah menengah dulu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN (#EduRoundtables2025) di sini, hari ini
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata tumpuan kedua adalah terhadap penggunaan teknologi sebagai alat penting dalam menyelesaikan isu keciciran.
“Memang ada beberapa pendekatan yang sangat penting untuk melihat keperluan teknologi ini menjadi alat kepada menangani isu keciciran ini.
“Saya ingat kalau di peringkat KPM, kita ada pelantar DELIma...untuk guru-guru menggunakan sepenuhnya pelantar DELIma ini untuk mengenal pasti beberapa isu keciciran, memorasi, literasi dan boleh menggunakan semua aplikasi dalam Pelantar DELIma ini untuk tujuan penggunaan teknologi dalam kelas dan menyelesaikan beberapa isu keciciran,” katanya.
Beliau turut menekankan selain infrastruktur, keperluan untuk adanya guru kompeten juga sama penting bagi menyokong perluasan pendidikan awal kanak-kanak.
“Jadi, antara keprihatinan yang dinyatakan dan pandangan daripada UNESCO dan ICESCO adalah keperluan menyediakan guru-guru yang kompeten untuk memastikan bahawa anak-anak prasekolah ini dapat pendedahan pendidikan awal di peringkat prasekolah sebelum memulakan pendidikan mereka secara formal di peringkat arus perdana,” katanya.
Beliau berkata pelbagai usaha tersebut selari dengan reformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan KPM, termasuk perancangan dalam pelan pembangunan pendidikan yang baharu dan perluasan prasekolah secara besar-besaran.
Acara bermula semalam dengan forum bertemakan “Accelerating Innovative Strategies: Mitigating Out-of-School Children and Youth (OOSCY) Challenges”, bertujuan mengukuhkan usaha kolektif menerusi perkongsian maklumat berkaitan kumpulan yang tidak mendapat akses pendidikan dan berisiko tercicir serta isu-isu lain berkaitan keciciran.
Selain anggota ASEAN dan Timor Leste sebagai pemerhati, Forum Pendidikan ASEAN turut disertai wakil daripada organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) dan Pertubuhan Dunia Islam bagi Penyelidikan, Sains dan Kebudayaan (ICESCO).
Tahun ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas menyandang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.