LANGKAWI: Dalam usaha membina ASEAN yang berdaya tahan dan mampan, penting bagi negara anggota untuk terus memberikan perhatian terhadap kelemahan dalam pembelajaran asas, jurang kemahiran dan pengangguran belia yang menjadikan cabaran dalam isu kanak-kanak dan belia yang tidak bersekolah (OOSCY), bertambah buruk.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam ucapan alu-aluan pada Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN di sini hari ini, berkata dengan sokongan berterusan dan kebijaksanaan bersama, ASEAN mampu mencapai tahap lebih tinggi dalam usaha menyediakan pendidikan berkualiti dan kemakmuran kepada negara anggota dan rantau itu secara keseluruhan.
“Sidang meja bulat hari ini mengukuhkan lagi tekad bersama bahawa setiap kanak-kanak dan belia, terutamanya mereka yang keciciran pembelajaran, mesti diberikan akses saksama kepada pendidikan bermutu dan peluang untuk memainkan peranan bermakna dalam masyarakat.
“Sidang ini menyediakan platform amat berharga untuk berkongsi pengalaman, menilai kemajuan bersama serta meneroka pendekatan inovatif untuk merapatkan jurang pendidikan yang telah lama wujud.
“Memandangkan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini, kami amat menyedari tanggungjawab yang digalas. Berpandukan visi ASEAN yang berpaksikan dan berpusatkan rakyat, kami tetap komited terhadap pembangunan inklusif dan memastikan tiada sesiapa yang tercicir, khususnya kanak-kanak dan belia yang masih di luar sistem pendidikan formal,“ katanya.
Fadhlina turut menekankan bahawa Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN mengenai Envisioning the Next Decade and Beyond, yang bertujuan menggariskan hala tuju bersama ke arah ekosistem pendidikan masa hadapan, turut menjadi perkara penting dalam sesi hari ini.
Beliau berkata memandangkan rantau ini sedang mengalami transformasi teknologi dan industri, penting untuk institusi pengajian tinggi berkembang dan menjadi lebih inklusif, tangkas dan responsif kepada permintaan dunia sebenar.
“Dengan memperkukuh kerjasama antara kerajaan, akademia dan industri, kita bukan sahaja berusaha melengkapkan belia untuk pekerjaan masa hadapan, tetapi juga membina laluan lebih inklusif untuk OOSCY kembali ke dalam sistem pendidikan dan menyumbang secara aktif kepada kemakmuran bersama.
“Merapatkan jurang ini ialah asas kepada pembentukan ASEAN yang inovatif, bersatu padu dan memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan,“ katanya yang turut merakamkan ucapan takziah kepada semua yang terkesan akibat gempa bumi dahsyat di Myanmar dan Thailand pada Mac lepas.
Turut hadir pada sidang itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta menteri dan pegawai kanan yang bertanggungjawab terhadap pendidikan dan pendidikan tinggi dari negara anggota ASEAN dan Timor-Leste, wakil Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Dunia Islam (ICESCO).
Menteri-menteri pendidikan dijangka menerima pakai Kenyataan Bersama Langkawi mengenai OOSCY ASEAN, yang dicadangkan sebagai kerangka panduan untuk memacu tindakan kolektif dalam memastikan akses inklusif kepada peluang pendidikan dan pembelajaran di seluruh rantau ini.
Semalam, Fadhlina mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah ICESCO Dr Salim M. AlMalik berhubung hal pendidikan, antara lain mengenai kerjasama strategik dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).