• 2025-08-18 05:13 PM

CYBERJAYA: Aspek tatakelola dan tadbir urus baik wajib diterapkan dalam pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membolehkan proses transformasi digital negara dapat dilaksanakan dengan baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata teknologi dan disiplin ilmu baharu AI perlu diterokai dengan baik dan teliti bagi mengelak berlakunya sesuatu yang akan menjejaskan atau merugikan negara.

Mengambil contoh pendekatan penswastaan yang pernah dilaksanakan sebelum ini, beliau berkata penswastaan tanpa menerapkan proses ketelusan dan tatakelola yang baik akan menyebabkan Malaysia mengalami kerugian.

“ ...ketika itu, ia bukan privatisation tetapi piratisation dan tidak ikut proses... akibatnya apa? banyak syarikat yang umumnya (asalnya) diberikan dengan harapan (memberi) faedah (kepada) negara dan rakyat... akhirnya terpaksa ditampung oleh kerajaan kerana kerugian besar dan menjadi beban hutang yang besar yang harus dilangsaikan oleh rakyat.

“Sebab itu, apa pun yang disebut pengkomputeran, transformasi digital, AI dan prinsip tadbir urus baik ini amat diperlukan,” katanya ketika berucap pada Program Temu Anwar@Universiti Multimedia (MMU) serta pelancaran Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan MMU di sini hari ini- Bernama