• 2025-07-02 02:19 PM

SEREMBAN: Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan (JTKNS) telah memulakan siasatan terhadap majikan sebuah tapak pembinaan berikutan kejadian kebakaran kontena yang dijadikan asrama pekerja di Forest Heights pada Isnin lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata siasatan awal mendapati penginapan tersebut tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 24D Akta 446 selain turut mengarahkan pekerja dipindahkan ke penginapan Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) diperakui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Veerapan menambah bahawa terdapat kira-kira 46 CLQ yang sah di Negeri Sembilan, dan majikan yang tidak menyediakan CLQ sendiri boleh memilih daripada senarai yang disediakan untuk penempatan pekerja mereka.

Beliau menegaskan bahawa JTKNS tidak akan berkompromi dalam memastikan kebajikan pekerja, termasuk penyediaan penginapan yang sesuai dan pembayaran gaji tepat pada masanya.

“JTKNS akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang ketidakpatuhan oleh majikan bagi memastikan keselamatan, kesihatan, dan maruah pekerja sentiasa terpelihara,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 6.07 petang Isnin, sebanyak 30 unit kontena yang dijadikan asrama tapak pembinaan musnah dalam kebakaran. Nasib baik, tiada mangsa dilaporkan kerana pekerja terbabit belum pulang ke kediaman mereka.