KUALA LUMPUR: Pemain tenpin boling negara Muhammad Rafiq Ismail menebus kekecewaan memenangi pingat perak pada edisi lepas dengan menjuarai acara perseorangan lelaki pada Kejohanan Tenpin Boling Asia (ATBC) ke-27 di Bangkok hari ini.

Muhammad Rafiq melakukan 1,419 jatuhan pin untuk memenangi pingat emas perseorangan lelaki pertamanya pada kejohanan yang berlangsung di Blu-O Rhythm & Bowl Ratchayothin.

Lebih manis lagi, kejayaan atlet berusia 26 tahun itu memberi inspirasi kepada rakan senegara, Muhammad Hafiz Zainuddin (1,383 jatuhan pin) dan Syafiq Ridhwan Abdul Malek (1,370 jatuhan pin), masing-masing membawa pulang pingat perak dan gangsa.

Dalam pada itu, tiga lagi pemain boling negara iaitu Izz Naqiuddin Putera Islahuddin, Shaqeem Izwan Teh Shahrul Hafiz Teh dan Tun Hakim Tun Hasnul Azam gagal menembusi kelompok 10 teratas dalam acara itu.

Izz Naqiuddin sekadar menduduki tempat ke-14 (1,305 jatuhan pin) diikuti Shaqeem Izwan Teh di tempat ke-50 (1,183 jatuhan pin) dan Tun Hakim menamatkan kempen di tempat ke-61 (1,157 jatuhan pin).

Bagaimanapun tiada seorang daripada enam pemain boling wanita negara berjaya menaiki podium dalam acara perseorangan wanita.

Nora Lyana Nastasia Norkamal menduduki tempat keenam selepas melakukan 1,301 jatuhan pin manakala penyandang juara dunia, Natasha Mohamed Roslan menduduki tempat ke-11 dengan 1,266 jatuhan pin.