• 2025-06-28 01:03 PM

KUALA LUMPUR: Dalam menghadapi landskap politik global yang semakin mencabar, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu sentiasa bersedia dengan teknologi pertahanan terkini bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Titah Seri Paduka Baginda, konflik seperti peperangan antara Iran dan Israel serta krisis di Gaza membuktikan undang-undang antarabangsa tidak mampu menjamin keamanan.

“Kita tidak tahu siapakah kawan dan lawan. ATM perlu sentiasa bersiap sedia,” titah baginda semasa Istiadat Perbarisan dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM di Kem Perdana, Sungai Besi hari ini.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan kerajaan supaya memastikan tiada campur tangan politik atau pengaruh syarikat pembekal dalam proses perolehan peralatan.

“Pucuk pimpinan ATM mesti amanah dan elak rasuah. Saya tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang menyalahgunakan kuasa,” tegas baginda.

Selain itu, baginda menegur budaya penggunaan media sosial dalam kalangan anggota tentera.

“Jangan muat naik maklumat sensitif seperti lokasi gerakan. Perang moden menggunakan maklumat awam untuk serangan,” titah Sultan Ibrahim sambil menasihati anggota supaya lebih berhati-hati.

Seri Paduka Baginda turut mengucapkan tahniah kepada 509 pegawai kadet yang tamat latihan, mengingatkan mereka tentang tanggungjawab tinggi sebagai pegawai tentera.

“Kerjaya ini menuntut pengorbanan, kejujuran, dan kesetiaan tanpa berbelah bahagi kepada raja dan negara,” titahnya.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin serta pucuk pimpinan ATM.