• 2025-08-12 10:42 PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan bagi menjelaskan garis panduan menangani salah laku buli.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata langkah itu adalah maklum balas kepada salah satu tuntutan dalam memorandum #KeadilanUntukZara.

“Kementerian juga terbuka terhadap pandangan dan cadangan untuk menambah baik garis panduan sedia ada,“ katanya dalam hantaran Facebook.

Mengenai tuntutan reformasi sistem pendidikan, beliau menyatakan beberapa langkah telah diumumkan bagi meningkatkan keselamatan di institusi pendidikan.

Antaranya termasuk audit keselamatan, penambahbaikan sistem aduan buli, dan penubuhan jawatankuasa reformasi keselamatan.

Tindakan tegas seperti gantung dan buang sekolah bagi kes buli turut diperketat.

Fadhlina menekankan aspek sokongan psikososial akan terus diperkukuh di semua peringkat.

Bagi latihan mandatori kepada guru dan warden, beliau berkata aspek latihan akan diperkasa bagi kesiapsiagaan menghadapi insiden buli.

Semua institusi pendidikan diwajibkan mematuhi garis panduan menangani salah laku buli.

Mengenai kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir, KPM akan beri kerjasama penuh dalam siasatan polis.

“KPM menyambut baik langkah PDRM mewujudkan pasukan petugas khas bagi kes ini,“ jelasnya.

Fadhlina turut menerima kunjungan wakil aktivis pelajar di Parlimen bagi bincangkan kebimbangan dalam memorandum.

Kira-kira 50 peserta himpunan aman sebelum ini menuntut keadilan berhubung kematian remaja 13 tahun itu. - Bernama