• 2025-08-11 12:42 PM

GEORGE TOWN: Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman Datuk Azizee Ismail secara rasmi memegang jawatan sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu mulai hari ini.

Pelantikan beliau disempurnakan dalam majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid hadir menyaksikan upacara peralihan kuasa tersebut.

Azizee mengambil alih tugas daripada Datuk Seri Hamzah Ahmad yang kini menyandang jawatan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Sebelum ini, jawatan Ketua Polis Pulau Pinang dipangku oleh Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin.

Azizee, 59, menyatakan beliau akan mengadakan perbincangan dengan ketua jabatan dan ketua polis daerah bagi merangka pelan penambahbaikan operasi.

Beliau bertekad mengekalkan prestasi penurunan kadar jenayah sedia ada sambil berusaha mengurangkannya ke tahap lebih baik pada masa depan.

“Ini kali kedua saya ditugaskan di Kontinjen Pulau Pinang, iaitu kali pertama pada 2006 hingga 2008 sebagai Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi IPK,“ katanya.

Beliau juga telah menerima taklimat daripada Datuk Mohd Alwi dan berhasrat mengekalkan kejayaan sedia ada sambil melaksanakan pembaharuan diperlukan.

Azizee memulakan kerjayanya sebagai Inspektor Polis pada 1993 di Jabatan Logistik dan Teknologi sebelum memegang pelbagai jawatan penting.

Antara portfolio yang pernah disandang termasuk Ketua Unit Projek (Pengurusan Fasiliti) dan Pegawai Turus Pembangunan dan Penyelenggaraan.

Pengalaman luas beliau dalam bidang logistik dan pengurusan fasiliti diharap dapat memperkukuh keupayaan operasi PDRM di Pulau Pinang. – Bernama