KUALA LUMPUR: Bagi memastikan hidupan liar dan habitat hutan terus terpelihara, peruntukan RM36 juta disediakan menerusi Bajet 2023 bagi program perlindungan harimau, gajah dan spesies liar yang lain, menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Selain itu, beliau berkata bilangan renjer komuniti untuk mengawal biodiversiti kawasan hutan ditingkatkan daripada 800 kepada 1,000 renjer dan digajikan dalam kalangan komuniti tempatan khususnya orang asli dan veteran menerusi peruntukan RM39 juta.

Bagi menyokong usaha kerajaan negeri mengurus dan meningkatkan keluasan kawasan perlindungan flora dan fauna, beliau berkata peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) ditingkatkan kepada RM100 juta setahun iaitu penambahan sebanyak RM30 juta.

“Kerajaan juga akan terus mempergiat projek restorasi hutan bagi menanam anak-anak pokok antaranya di kawasan Hutan Simpan Wilayah Perhutanan Sandakan, Sabah.

“Bagi memperbaiki, membersih dan merawat sungai di seluruh negara, sejumlah RM216 juta disediakan untuk melaksanakan projek pemuliharaan antaranya di muara Sungai Merang, Terengganu dan muara Sungai Perak,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, bagi pembangunan komuniti lestari, Tengku Zafrul mengumumkan RM100 juta disediakan kepada Yayasan Hasanah untuk menerajui usaha di peringkat komuniti seperti menjana pendapatan, memastikan tiada yang ketinggalan dalam pendidikan dan menggiatkan program pemeriksaan kesihatan.

Beliau berkata peruntukan RM20 juta kepada Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia bagi memperbanyak aktiviti berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) secara usahasama antara kerajaan, masyarakat setempat serta industri.

Bagi memperkasa bahasa Melayu, disediakan RM5 juta kepada Kementerian Luar untuk berkolaborasi dengan agensi berkaitan bagi melaksanakan Program Diplomasi Bahasa dan Budaya ke arah pengantarabangsaan khazanah negara itu. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image